Berita l News

Mimos, Unimas tubuh Pusat Teknologi Semantik
(UTUSAN MALAYSIA) on 04/09/2008 at 1:16am (UTC)
 Mimos, Unimas tubuh Pusat Teknologi Semantik

KUALA LUMPUR 4 April - MIMOS Bhd. (Mimos), pusat penyelidikan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi Malaysia, hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Dalam Teknologi Semantik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Datuk Abdul Wahab Abdullah (gambar) berkata, teknologi semantik merupakan teras pembangunan Web 3.0 untuk generasi masa depan supaya pengetahuan menjadi bahagian penting dalam kehidupan harian.

''Dalam usaha bagi memastikan negara ini diiktiraf sebagai masyarakat Web 3.0 yang pertama di dunia, Mimos berperanan sebagai pemangkin dalam pembangunan pusat ini.

''Pusat ini bertujuan membangunkan kepakaran dalam teknologi semantik, justeru mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan sebagai satu kenyataan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semantik ialah kajian tentang makna manakala teknologi semantik yang merangkumi piawaian dan kaedah perisian menyediakan makna yang lebih jelas untuk pengetahuan orang ramai.

Buat masa ini, Mimos bekerjasama dengan Fakulti Komputer Sains dan Teknologi Maklumat Unimas terhadap inisiatif pengeluaran Teknologi Bahasa untuk diperdagangkan sebagai bahasa berpangkalan teknologi.

Unimas telah dipilih kerana ia mempunyai jisim genting dalam kecerdasan buatan (AI) dan adalah satu-satunya universiti di Malaysia dengan jabatan-jabatan AI dalam dua fakulti berasingan iaitu, Sains Kognitif dan Komputer Sains.

Pusat tersebut merupakan sebahagian usaha Mimos membantu universiti-universiti ke arah mencapai Hala Tuju Teknologi Kebangsaan.

Ia berperanan sebagai kompas untuk para penyelidik menghasilkan sesuatu yang bermanfaat daripada aspek strategik, sosial dan ekonomi ke arah mencapai aspirasi kebangsaan berkenaan.
 

Gaya mewah Joybook BenQ
(UTUSAN MALAYSIA) on 04/09/2008 at 1:15am (UTC)
 Gaya mewah Joybook BenQ

Oleh: KHAIRUNNISA SULAIMAN

KOMPUTER riba ini direka sesuai dengan skrin sokongan 2.5”, iaitu skrin LCD kecil di luar komputer riba.

Siapa yang tidak ingin kelihatan bergaya, mewah dan elegan apabila menggunakan gajet-gajet terkini.

Terbaru syarikat pengeluar komputer terkemuka, BenQ melancarkan komputer riba terbarunya – Joybook Q41 dan Joybook R43.

Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan ciri-ciri anggun dan bergemerlapan yang mirip budaya dan fesyen Bling-Bling Mewah yang diminati golongan muda bergaya.

Joybook Q41 ialah satu-satunya komputer riba di pasaran yang dilengkapi dengan ciri paparan dwiskrin manakala Joybook R43 pula satu lagi peranti bergaya yang harus dimiliki untuk menyempurnakan kemewahan bling dalam gaya hidup seseorang.

Dipopularkan oleh artis rap B.G. sehingga mendapat tempat dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford, istilah bling digunakan secara meluas untuk melambangkan perhiasan mewah ikonik, fesyen hip hop.

Ia juga mencerminkan nilai yang mengutamakan penampilan dan kemewahan unggul termasuk kereta bergaya, tiket kelas pertama dan jam tangan mahal.

Pengguna juga semakin gemar menampilkan gaya Bling-Bling dengan menyesuaikan beg, kemeja, telefon mudah alih dan kamera antara lain dengan perhiasan berkilauan seperti pelekat dan manik.

BenQ Joybook Q41 jelas melambangkan trend Bling-Bling dengan penampilan moden bandar serta reka bentuk yang diilhamkan daripada muka bangunan kaca pencakar langit yang tersergam indah di kota.

Komputer riba ini direka sesuai dengan skrin sokongan 2.5”, iaitu skrin LCD kecil yang terletak di atas lilitan mirip kaca berkilauan di luar komputer riba.

Pad kunci operasi berwarna merah menambah penampilan gaya metropolitan manakala penutupnya, yang dirawat dengan cat kulit hitam, memberikan penampilan yang lembut dan tahan lama, sama seperti kulit.

Garis bentuk terperinci berunsur logam diukir pada kerangka dalam untuk memberikan sentuhan anggun yang paling selesa buat tangan.

Joybook Q41 ialah komputer riba pertama untuk menawarkan fungsi VoIP terus daripada skrin tambahan (skrin kecil di luar).

Tanpa membuka komputer, skrin tambahan membolehkan pengguna membuka Windows Media Player dan menggunakan Slide Show Player untuk melihat semua gambar kegemaran, mendengar muzik, menyelami keseronokan permainan komputer dan mengikuti berita terkini menerusi RSS Feed Viewer.

BenQ Joybook R43 yang menambah keanggunan bling kepada rangkaian produk Joybook, diilhamkan daripada misteri dan kerancakan kehidupan kota waktu malam.

Teknologi

Kemasan warna hitam pekat Joybook R43 baru, dengan jalur hiasan unik merentasi penutup yang dicetak dengan teknologi Filem Laminar Inskripsi, membayangkan ufuk langit metropolis mengagumkan menerusi gaya seni pop.

Bentuk dan garis geometri pada jalur ditaburi titik berkilauan, yang menyerlah apabila cahaya sekeliling malap, mencerminkan bangunan bergemerlapan di tengah kota.

Sentuhan kota waktu malam terus diperlihatkan apabila pengguna membuka penutup dan melihat butang kuasa bercahaya biru dan lampu petunjuk, dan juga alas tangan bergaris halus dengan tekstur berus dan pad sentuh dengan telauan lembut.

Kedua-dua Joybook dilengkapi dengan skrin lebar 14.1" UltraVivid, sambungan Wi-Fi dan dipacu pemproses Intel® Core™2 Duo.

BenQ Joybook Q41 dan R43 yang kini boleh didapati di pasaran, dijual pada harga runcit RM3,499 and RM2,399.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk BenQ ini, sila kunjungi laman web BenQ.com.my.
 

NEC sasar jadi pengeluar komputer utama
(UTUSAN MALAYSIA) on 04/09/2008 at 1:14am (UTC)
 NEC sasar jadi pengeluar komputer utama

KUALA LUMPUR 6 April - NEC Computers Asia Pacific Sdn. Bhd. (NEC) berazam menjadi antara pengeluar komputer utama di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Pemasaran NEC, Makoto Iwasaki berkata, keyakinan itu berteraskan kedudukan cemerlangnya di Jepun sebagai penjual komputer utama di negara itu.

''Kami yakin dapat menjadikan NEC sebagai salah satu produk yang akan dimiliki oleh pelanggan Malaysia.

''Beberapa usaha telah dijalankan oleh pihak kami termasuk memperkenalkan beberapa produk baru kepada pasaran tempatan termasuk beberapa siri desktop yang lebih canggih dan sesuai kepada semua golongan masyarakat,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, syarikat tidak akan berkompromi dengan kualiti produk menerusi peningkatan kawalan kualiti dan penyelidikan, tambahnya.

Terbukti''Pasaran Jepun amat mementingkan kualiti produk sebelum diterima oleh pelanggan, terbukti dengan kedudukan kami yang pertama di sana menggambarkan kualiti produk kami di tahap yang paling tinggi.

''Kami juga mempromosi produk mesra alam, yang merupakan cara kami menunjukkan sokongan kami terhadap kempen cintai alam sekitar,'' jelasnya.

Produk NEC yang diiktiraf mesra alam perlu menjalani ujian alam sekitar yang ekstrem bagi memastikan kesan dan risiko terhadap alam sekitar dapat dikurangkan atau dimansuhkan.

''NEC juga merupakan antara pembuat komputer terawal menyediakan program pengurangan kesan terhadap alam sekitar.

''NEC menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan bahan-bahan merbahaya,'' jelasnya.

Tambah Makoto, NEC juga mementingkan kepuasan pelanggan mereka bagi membaiki proses perniagaan dan pengurusan yang lebih proaktif.

''Kami mendengar semua pandangan dan aduan para pelanggan kami dengan menyediakan perkhidmatan pelanggan untuk tujuan tersebut.

''Pelanggan kami boleh memastikan komitmen dan dedikasi adalah terjamin dengan misi kami membantu sekiranya di perlukan,'' tambahnya.
 

Boikot barang pengajaran hina Islam
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi on 04/07/2008 at 2:13am (UTC)
 Boikot barang pengajaran hina Islam
Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bantahan secara berhemah serlah ketinggian akhlak, tepis pandangan negatif Barat

KEBEBASAN adalah antara isu hangat diperkatakan umum dewasa ini. Ini kerana isu kebebasan bukan saja bersifat nasional, malahan ia menjadi isu sejagat. Di mana saja negara di dunia ini sering membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman yang semakin canggih ini.

Justeru, sering kedengaran suara menuntut kebebasan wanita, kebebasan akhbar, kebebasan beragama. Akhbar Eropah berani menyiarkan gambar kartun Nabi Muhammad di dada akhbar arus perdana dan terkini penerbitan filem Fitna dari Belanda yang secara terang menghina Islam.

Tayangan filem itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sekali gus menyebabkan hubungan semakin tegang antara Barat dengan negara Islam. Kemarahan dan ketidakpuasan hati umat Islam terhadap Barat ada kewajarannya, lebih-lebih lagi paparan orang Islam yang membunuh orang kafir secara membuta tuli dan Islam dikatakan menggalakkan keganasan adalah satu penghinaan cukup besar terhadap Islam.



Biarpun dengan alasan kebebasan bersuara, kebebasan itu membabitkan tanggungjawab dan perbuatan itu tetap tidak dapat diterima oleh prinsip moral dan akal yang waras. Tambahan pula, perbuatan itu menghina keyakinan orang lain.

Dari satu segi lain, Islam dan keganasan adalah dua perkara berbeza. Islam pada hakikatnya adalah al-Din bersifat rahmah kepada sekalian alam. Bukankah Allah menjelaskan matlamat utama di sebalik kejadian manusia dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat, ayat 13) .

Jelas di sini, Islam adalah al-Din amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah. Maka, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.

Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu. Semuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkan ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat. Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya.

Inilah adalah satu fakta cukup jelas Islam perlu diketengahkan kepada Barat, Islam tidak memusuhi mana-mana umat manusia menghuni alam maya ini. Islam amat cintakan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan hidup, bukan saja kepada umatnya, bahkan kepada umat lain turut berkongsi alam semesta ini.

Bagi umat Islam, mereka wajar dan mempunyai hak untuk meluahkan kemarahan dan protes terhadap pihak yang menghina agama mereka, namun biarlah kena pada tempatnya. Dalam erti kata lain, biarlah kemarahan dan protes itu diluahkan dengan cara baik, logik dan terkawal.

Maka, bertepatan sekali apabila seorang ulama Mesir terkemuka, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menegaskan Islam tidak membenarkan sama sekali kekerasan dan keganasan seperti tindakan membakar kedutaan, melakukan kemusnahan di tempat awam, tindakan membakar kedutaan Denmark dan Norway di negara Arab oleh umat Islam yang marah dengan penyiaran kartun Nabi Muhammad dalam akhbar Eropah. Islam tidak pernah mengharuskan sebarang tindakan keganasan seumpama ini kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip moral dan juga akhlak Islam yang luhur.

Sebaliknya, Prof Dr Yusof al-Qaradawi mencadangkan umat Islam supaya memboikot terus semua barang dari Belanda dan juga negara terbabit dalam penghinaan Islam. Ia adalah satu cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam seluruh dunia dengan tujuan untuk mengajar Barat maruah dan agama umat Islam wajib dihormati pada masa hadapan.

Langkah Malaysia menggantung permit akhbar Sarawak Tribune satu ketika dulu satu langkah baik untuk dijadikan iktibar kepada syarikat akhbar lain supaya Islam tidak lagi dihina dan sensitiviti umat Islam perlu dijaga.

Akhirnya, Islam memerintahkan umatnya supaya menonjolkan ketrampilan akhlak terpuji dan terbaik kepada kaum lain supaya dapat diserlahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi di samping akan membuka pintu hati orang bukan Islam akan keindahan dan kesejahteraan yang menghiasi Islam itu sendiri dengan pendekatan penerangan dan dakwah kepada umat lain dengan cara yang baik dan bijaksana serta dengan contoh amalan yang baik menurut ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya dengan kekerasan dan penindasan yang kejam.

Ringkasnya, umat Islam pada asasnya adalah umat yang terbaik dilahirkan Allah di bumi ini untuk menghembuskan roh kedamaian dan kerahmatan untuk menghirup oleh sekalian penghuni alam semesta ini. INTIPATI



Tayangan filem Fitna dari Belanda yang menghina Islam menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sekali gus menyebabkan hubungan semakin tegang antara Barat dengan negara Islam.


Islam pada hakikatnya adalah al-Din bersifat rahmah kepada sekalian alam, menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.


Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya.


Langkah memboikot terus semua barang dari Belanda dan juga negara terbabit dalam penghinaan Islam. Ia adalah satu cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam.


Muslim berjaya usah lupa, lalai dan tenggelam dalam keasyikan berada di mercu kejayaan hingga lupa tanggungjawab kepada Tuhan.
 

<-Back

 1 

Continue->

Masa l Time
 
Counter
 
hit counter code
JUMLAH PENGUNJUNG DARI 05/11/08
 
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free